Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Bekalan barangan keperluan harian seperti ikan dan sayur-sayuran mencukupi untuk menampung keperluan pengguna walaupun harganya tidak stabil sejak kebelakangan ini.

Tinjauan yang dilakukan di Pasar Besar Siti Khadijah dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) mendapati beberapa jenis ikan mengalami kenaikan di antara RM1 hingga RM6 sekilogram.

Antaranya ikan tongkol yang sebelum ini RM12 sekilogram kini dijual RM14; ikan kembung dari RM20 kepada RM24 hingga RM26 sekilogram berbanding sebelum ini; ikan cencaru dari RM10 kepada RM13 sekilogram, dan ikan siakap pula dari RM20 kepada RM22 sekilogram.

Begitu juga dengan harga sayur-sayuran yang juga tidak stabil.

Jenis sayuran yang mengalami penurunan harga ialah terung yang sebelum RM8 kini dijual RM6 sekilogram dan timun batang dari RM8 kepada RM6 sekilogram.

Bagi sayuran yang mengalami kenaikan antaranya ialah cili kecil yang sebelum ini RM9 kini dijual RM12 sekilogram; tomato dari RM8 kepada RM9 berbanding sebelum ini, petola dari RM8 kepada RM10 hingga RM12 sekilogram, manakala halia dari RM6 kepada RM10 sekilogram.

ORANG ramai memilih ikan di RTC, Tunjung hari ini.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
ORANG ramai memilih ikan di RTC, Tunjung hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Peniaga ikan, Nurul Faezah Abdullah, 38, berkata, bekalan ikan yang diperoleh tidak menentu sekali gus menyebabkan kebanyakan harga ikan mula naik sejak tiga hari lalu.

"Bekalan ikan diambil dari pembekal luar Kelantan iaitu dari Kedah, Besut serta Tok Bali dan bekalan ikan yang diterima daripada pembekal sekarang ini masih ikan segar.

"Bagaimanapun, pelanggan tidak seramai seperti sebelum ini mungkin disebabkan harga ikan yang sedikit mahal, namun turun naik harga memang sudah menjadi kebiasaan," katanya.

Peniaga sayur, Farah Zuriati Rahman, 30, berkata, harga sayur mengalami turun naik sejak lebih sebulan yang lalu dan dia sendiri bingung memikirkan situasi harga sayur pada ketika ini.

"Bagaimanapun, setakat ini bekalan sayur masih cukup untuk jualan harian.

"Kebanyakan bekalan sayur yang dijual ini diperoleh daripada pemborong di RTC untuk menampung keperluan pelanggan yang datang membeli di pasar ini," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Rosnah Isa, 78, berkata, sejak kebelakangan ini, harga barangan keperluan harian mengalami turun naik menyebabkan dia membeli dalam kuantiti yang sedikit.

"Sebagai pengguna kita harus bijak berbelanja dalam situasi harga barang yang tidak menentu kita perlulah berbelanja mengikut keperluan.

"Untuk berjimat, saya memilih sayuran dan lauk pauk yang tidak terlalu mahal untuk dijadikan hidangan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 10:03 AM