Tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong mendapati harga beberapa jenis sayur-sayuran naik berikutan bekalan sayur-sayuran tempatan tidak cukup kerana rosak akibat banjir tempoh hari sehingga menyebabkan pemborong mengambil bekalan dari negara jiran. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong mendapati harga beberapa jenis sayur-sayuran naik berikutan bekalan sayur-sayuran tempatan tidak cukup kerana rosak akibat banjir tempoh hari sehingga menyebabkan pemborong mengambil bekalan dari negara jiran. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Harga sayur-sayuran di bandar ini didapati berlaku kenaikan berikutan bekalan kurang sehingga terpaksa mendapatkan bekalan di negara jiran.

Tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong mendapati harga beberapa jenis sayur-sayuran naik antaranya terung dari RM8 kepada RM10 sekilogram, tomato dari RM5 kepada RM8 sekilogram, cili padi merah dari RM17 kepada RM20 sekilogram.

Peniaga, Ariffin Ahmad, 40, berkata harga sayur-sayuran naik sejak lebih sebulan lalu iaitu ketika banjir hingga sekarang.

Menurutnya, kenaikan harga berikutan bekalan sayur tempatan tidak mencukupi kerana rosak akibat banjir sehingga menyebabkan pemborong mengambil bekalan dari negara jiran.

"Disebabkan bekalan di sana (Thailand) dibeli dengan harga tinggi menyebabkan pemborong menjual kepada peniaga dengan harga yang tinggi.

"Pada masa sama, nilai matawang negara jiran juga tinggi berbanding negara kita. Jadi faktor ini menyebabkan harga sayur mahal," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Bapa kepada empat anak itu berharap kerajaan membuat pemantauan kerana kenaikan harga sayur-sayuran dijangka kekal untuk tempoh beberapa bulan.

Katanya, keadaan itu membebankan rakyat kerana perlu mengeluarkan belanja tinggi untuk membeli sayur dan barangan keperluan harian yang lain.

Peniaga, Norasliha Mat, 45, berkata harga sayur-sayuran naik, namun peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya berikutan tidak mahu pembeli rasa terbeban.

Katanya, harga sayur yang dibeli daripada pemborong meningkat menyebabkan peniaga menaikkan sedikit harga, namun tidak mengambil untung yang banyak.

"Untuk sekilogram, kami hanya ambil untung antara RM1 hingga RM2 sahaja untuk menampung pelbagai kos termasuk kerosakan dan sayur tidak habis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 2:28 PM