Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Hampir 500 penduduk di Taman Wadi Iman, Kok Lanas, di sini, mengeluh apabila terpaksa menanggung kerugian apabila harta benda musnah dalam banjir kilat kerana masalah sistem perparitan sejak empat tahun lalu.

Mereka mendakwa belum ada penyelesaian dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga kini walaupun aduan sudah dibuat.

Penduduk Muhammad Abdul Hakim Adnan, 27, berkata dia rasa kecewa kerana pihak berwajib tidak cakna mengenai masalah mereka sehingga menyebabkan penduduk dibebani perasaan bimbang setiap kali hujan lebat.

"Apabila hujan lebat berterusan selama empat hingga tiga jam, kawasan penempatan kami akan dinaiki air.

"Dalam banjir baru-baru ini, sebanyak 40 rumah terjejas sehingga ada yang dinaiki air setinggi 0.3 meter dalam rumah dan jumlah kerugian akibat kerosakan harta benda adalah sebanyak RM100,000.

"Sehingga kini tidak ada tindakan yang diambil, sebaliknya kami yang semakin sengsara," katanya.

Muhammad Abdul Hakim berkata demikian ketika ditemui selepas lebih 20 penduduk taman perumahan itu mengadakan piket aman bagi meluahkan permasalahan yang dihadapi mereka, hari ini.

SEBAHAGIAN penduduk menunjukkan parit dan saliran air yang didakwa menjadi penyebab banjir kilat yang sering melanda kawasan di Taman Wadi Iman,  Kok Lanas, di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN penduduk menunjukkan parit dan saliran air yang didakwa menjadi penyebab banjir kilat yang sering melanda kawasan di Taman Wadi Iman, Kok Lanas, di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Penduduk lain Mohd Yusof Ahamad Patani, 34, berkata masalah banjir kilat berulang kali berlaku pada 2018 dan tidak selesai sehingga kini sehingga ada penduduk mahu menjual rumah mereka kerana rasa kecewa.

"Justeru, saya memohon kepada pihak berwajib untuk turun padang dan menilai secara menyeluruh masalah ini kerana kami sudah tidak sanggup lagi menanggungnya dan berharap supaya sistem perparitan di kawasan ini dinaik taraf.

"Masalah banjir kilat ini bukan perkara biasa kerana hujan lebat berterusan akan menyebabkan banjir di luar jangkaan dan pada tahun ini sudah dua kali berhadapan situasi sama iaitu pada Mac dan Disember lalu," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Marinamarican Abdullah berkata, permasalahan yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan bakal diselesaikan.

Menurutnya, pihak JPS sudah membuka tender bagi projek pembinaan dan menaik taraf sistem saliran di kawasan perumahan berkenaan dengan anggaran kos berjumlah sekitar RM3 juta.

"Projek perparitan ini akan dilaksanakan bermula awal tahun depan bagi mengelak berlakunya banjir kilat. Insya-Allah ia akan bermula pada Mac 2023," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 3:38 PM