Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan menggunakan kaedah tertentu termasuk mendekati perantau dan golongan muda dalam kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti untuk memastikan gabungan itu menang.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan dan Terengganu, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata bagi tujuan itu, PH akan cuba turun untuk bertemu dengan rakyat secara agresif.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan membolehkan PH mendekati pengundi untuk memenangi hati mereka.

"Bagi kempen PRN ini, kita akan lakukan pelbagai strategi iaitu mendekati pengundi muda dan perantau termasuk dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor kerana ia membabitkan jumlah yang ramai.

"Kita merasakan mereka akan menjadi faktor penting dalam PRN nanti keran mereka sebelum ini memihak kepada PAS, namun ia mungkin akan berubah kali ini.

"Kita yakin berdasarkan beberapa isu yang akan memihak kepada kita sekali gus membolehkan PH dan BN menjadi saingan kepada PAS," katanya pada sidang media di Majlis Lawatan Kerja YB Menteri ke Projek Membina dan Menaik taraf Sistem Saliran Bagi Mengatasi Masalah Banjir di Taman Wadi Iman, Kok Lanas di sini, hari ini.

Nik Nazmi Nik Ahmad. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nik Nazmi Nik Ahmad. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Nik Nazmi yang juga Naib Presiden Keadilan berkata, pendekatan itu dilakukan pihaknya menerusi cara turun padang iaitu pertemuan fizikal dan media sosial.

Beliau berkata, PH dan BN di Kelantan juga bekerjasama sangat baik apabila sering melakukan program secara bersama termasuk menerusi program di Kuala Krai semalam.

"Ketua-ketua bahagian mereka (BN) termasuk dari MIC bersama jentera masing-masing juga turun untuk bersama-sama jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan juga DAP.

"Kerjasama antara semua parti komponen PH dan BN penting untuk memberi saingan kepada kerajaan PAS di Kelantan. Jadi tidak ada sebarang krisis dalam kerjasama ini seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 3:51 PM