Fitri Nizam

HUJAN lebat yang melanda sebahagian besar Terengganu sejak awal pagi tadi mengakibatkan beberapa kawasan di Kuala Terengganu mengalami banjir kilat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JOS) Terengganu, hujan lebat bermula jam 3 hingga 8 pagi direkodkan melanda beberapa stesen di sekitar Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus.

Berdasarkan kenyataan itu, tiga daerah terbabit menunjukkan keamatan hujan yang sangat lebat sehingga melebihi 100 milimeter dalam tempoh hanya tiga jam.

“Hal ini pasti boleh menyebabkan banjir kilat dan beberapa kawasan sudah dilaporkan dinaiki air iaitu di Jalan Sultan Omar, Jalan Kamaruddin, Kuala Ibai, Taman Sri Intan dan Jalan Tekukur,” katanya.

Anggota polis trafik menjaga lalu lintas yang sesak berikutan berlaku banjir kilat akibat hujan lebat sejak awal pagi tadi di jalan Sultan Omar menghala ke Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan
Anggota polis trafik menjaga lalu lintas yang sesak berikutan berlaku banjir kilat akibat hujan lebat sejak awal pagi tadi di jalan Sultan Omar menghala ke Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan

Sementara itu, difahamkan terdapat beberapa pemindahan mangsa banjir di daerah Marang dan Kuala Terengganu sedang giat dilaksanakan anggota keselamatan.

Bagaimanapun, jumlah mangsa terbabit yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih belum diperoleh berikutan kerja-kerja pemindahan masih berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 11:31 AM