KEADAAN banjir di Kampung Bendang Pok Yong, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
KEADAAN banjir di Kampung Bendang Pok Yong, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pasukan keselamatan yang banyak membantu mangsa banjir di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pegawai dan petugas Pusat Kawalan Operasi Banjir peringkat negeri dan jajahan serta semua anggota keselamatan khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), petugas kesihatan dan pihak lain yang terbabit dalam misi bantuan serta menyelamat mangsa banjir sepanjang tahun ini.

Katanya, ucapan penghargaan itu juga dipanjangkan kepada semua pasukan sukarelawan, badan bukan kerajaan (NGO) orang perseorangan yang turut menyumbang sama ada tenaga serta bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir yang terjejas.

"Tidak lupa penghargaan kepada jentera peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negari (Adun) dan Ahli Parlimen melalui Pusat Khidmat Dun dan Parlimen atas usaha, kerja keras serta inisiatif dalam menyantuni dan membantu rakyat yang terjejas.

"Pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan ditutup sepenuhnya pada 28 Disember lalu.

"Kelantan merekodkan jumlah mangsa tertinggi pada 21 Disember lalu iaitu seramai 32,089 daripada 9,542 keluarga. Mereka ditempatkan di 135 PPS meliputi lapan jajahan kecuali Jeli dan Gua Musang.

"Semoga Allah SWT menganugerahkan pahala kebajikan disisiNya dan Kelantan diberi keamanan serta keselamatan daripada segala musibah dan bencana," katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 5:45 PM