Ilah Hafiz Aziz dan Nuratikah Athilya Hassan


Kuala Lumpur: Kematian 11 warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, Jalan Ipoh, di sini, dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor bukan hanya dirasai murid dan guru, malah turut ditangisi pekerja pembersihan sekolah berkenaan.

Ketika majlis memperingati mangsa berlangsung, hari ini kelihatan tiga wanita berhenti melakukan tugasan kerana terlalu sebak melihat video dan gambar-gambar yang ditayangkan.

Pekerja warga Indonesia, Ayu Sarah Buche, 48, berkata dia seperti kehilangan ahli keluarga terdekat apabila mengetahui pekerja kantin Nurul Azwani Kamaruzaman, 31, turut terbabit dalam tragedi pada 16 Disember itu.

"Mereka menayang gambar dan video-video arwah Wani dan mendiang guru-guru, saya tidak boleh meneruskan kerja kerana terlalu sedih. Saya ingat saya sudah OK tetapi ia sungguh hiba.

"Walaupun tayangan itu dalam bahasa Cina, kesedihan tetap saya rasai kerana sudah lapan tahun berkhidmat di sini dan semua baik-baik sahaja.

"Kami kehilangan rakan sekerja dan Wani yang kami anggap adik sangat baik hati serta pemurah," katanya.

Sementara itu, adik bongsu kepada Allahyarham Nurul Azwani, Nurhazita berkata, permintaan arwah untuk membeli bekalan makanan yang mahu dibawa ke Batang Kali menjadi kenangan terakhir mereka berdua.

"Kakak ada suruh saya beli mi segera dan roti sebagai bekalan untuk dia makan dekat sana (Batang Kali), malah dia berkeras mahu bayar semula tapi saya menolak. Mungkin itulah jasa terakhir saya buatnya.

"Khamis malam sebelum kejadian, kira-kira 10 malam, kakak ada hubungi mak berkaitan tiket untuk pulang ke kampung dan ia menjadi panggilan terakhir arwah dengan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 4:22 PM
Murid SJCK Mun Choong melihat gambar mangsa yang terkorban di Majlis Mengenang Guru dan Murid Yang Maut Dalam Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Murid SJCK Mun Choong melihat gambar mangsa yang terkorban di Majlis Mengenang Guru dan Murid Yang Maut Dalam Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN