FOTO Ihsan LUAS
FOTO Ihsan LUAS
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama agensi kerajaan negeri dan pihak yang terbabit melaksanakan tindakan mitigasi di semua lokasi yang terbabit dalam insiden pencemaran bau yang menyebabkan dua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas, semalam.

EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, ia termasuk kawasan kemalangan di Sungai Limau Manis yang mana hulunya terletak di Negeri Sembilan serta Sungai Semenyih bagi memastikan kesan pencemaran ini dapat dikekang daripada menjadi lebih teruk dan lama.

Katanya, dua lori tangki sedut dengan kapasiti 11 dan enam tan digunakan untuk menyedut baki cecair berkenaan sepanjang 500 meter aliran longkang.

"Manakala 45 beg 'Activated Carbon' bersamaan sekitar 1.6 tan sudah diletakkan di lokasi merangkumi longkang lokasi pencemaran, aliran Sungai Limau Manis dan Sungai Semenyih bagi meningkatkan proses nyah bau air sungai.

"Dalam masa yang sama juga tiga 'oil boom' dan satu kotak 'oil pad' digunakan sebagai langkah pencegahan awal semalam.

"Tindakan mitigasi pencemaran ini juga dibantu dengan pelepasan air Empangan Semenyih sekitar 360 juta liter sehari (JLH) untuk membantu meningkatkan kadar pencairan di Sungai Semenyih," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sumber air mentah ke LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi berjaya disalurkan semula pada 8.30 pagi dan 2 petang tadi selepas bacaan kosong ton direkodkan sebanyak tiga kali berturut-turut.

"Kerajaan Selangor dan LUAS merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit merangkumi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor); Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), PLUS Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Negeri Sembilan; Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) serta pihak terbabit yang lain di atas kerjasama dan komitmen menangani isu ini.

"LUAS akan meneruskan pemantauan rapi di lokasi pencemaran, aliran Sungai Limau Manis dan Sungai Semenyih sebagai langkah siap siaga mitigasi pencegahan segera sekiranya ada lagi penemuan saki baki kesan pencemaran daripada lokasi terlibat," katanya.

Semalam, LUAS mengaktifkan Kod Merah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air dan siasatan mendapati pencemaran tersebut berpunca dari insiden kemalangan lori membawa muatan pati minyak wangi yang berlaku pada jarak sekitar 6.4 kilometer ke muka sauk Jenderam Hilir dan 18 kilometer ke LRA Bukit Tampoi.

Lokasi kemalangan berkenaaan berada di luar kawasan negeri Selangor di Kilometer 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia iaitu sekitar enam kilometer dari sempadan Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 6:11 PM