Kerja-kerja pengalihan kontena dan penyedutan sisa cecair selesai. Kerja-kerja meletakkan beg Actived Carbon oleh LUAS ditambah. FOTO IHSAN LUAS
Kerja-kerja pengalihan kontena dan penyedutan sisa cecair selesai. Kerja-kerja meletakkan beg Actived Carbon oleh LUAS ditambah. FOTO IHSAN LUAS
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerja pengalihan kontena terbabit kemalangan sehingga menyebabkan pencemaran bau di Sungai Semenyih, selesai malam tadi.

Kontena dengan muatan pati minyak wangi dibawa sebuah lori itu terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 44.1 arah utara, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) berdekatan Bandar Serenia (kawasan Negeri Sembilan), semalam.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dalam kenyataan berkata, kerja pengalihan kontena berkenaan dilakukan oleh kontraktor lantikan pihak Plus Malaysia Berhad (Plus).

"Kerja penyedutan sisa cecair berkenaan pula dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh Luas juga selesai sepenuhnya jam 9.20 malam tadi (24 Disember)," demikian menurut Facebook rasmi Luas, hari ini.

Sementara itu, Luas turut memaklumkan, pemantauan terus dilaksanakan di lokasi pencemaran dan aliran Sungai Limau Manis dan Sungai Semenyih.

"Pemantauan dibuat sehingga bacaan bau mencapai 0 ton sebanyak tiga kali berturut bagi membolehkan LRA beroperasi semula" katanya.

Semalam, media melaporkan LRA Sungai Semenyih dihenti tugas pada 2 pagi tadi, manakala LRA Bukit Tampoi pada 6 pagi berikutan pencemaran bau di dalam aliran sungai terbabit.

Siasatan Luas mendapati, insiden berpunca daripada tumpahan cecair dari lori yang membawa muatan pati minyak wangi terbabit kemalangan di KM 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia (kawasan Negeri Sembilan) kira-kira enam km dari sempadan Selangor.

Jarak lokasi kemalangan ini ke LRA Sungai Semenyih adalah kira-kira 6.4 km dan ke LRA Bukit Tampoi, jaraknya kira-kira 18 km.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 8:56 AM