ANTARA yang menerima burger percuma. FOTO Ihsan YRS
ANTARA yang menerima burger percuma. FOTO Ihsan YRS
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Sekumpulan kanak-kanak sanggup berjalan kaki meredah banjir dan mengharungi air menggunakan perahu untuk mendapatkan burger percuma selepas penempatan mereka digenangi air hampir dua minggu di Kampung Tasek Bakong, di sini, semalam.

Sebanyak 120 biji burger disampaikan wakil badan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS) sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam meringankan beban mangsa banjir terutama di kawasan terpencil.

Salah seorang penerima, Syakira Abdul Halim, 7, mengakui berasa sangat gembira selepas sekian lama tidak merasa burger yang juga makanan kegemarannya selain tidak kisah meredah air sambil ditemani kedua-dua ibu bapanya.

"Apabila dapat makanan begini bersama rakan-rakan lain, saya rasa lebih teruja untuk makan bersama. Tambahan pula, sudah lama kami tidak keluar, kerana rumah masih digenangi air.

"Pada awalnya, saya ingatkan orang nak sampaikan pek makanan seperti beras dan gula, tetapi bila sampai dekat tempat berkumpul, saya tidak menyangka ia adalah burger. Saya sangat gembira.

"Terima kasih kerana berikan saya burger, dah lama nak makan dan tak sangka hari ini (semalam) saya dapat merasainya," katanya.

Manakala, bagi Mohamad Syafiq Mohd Zin, 7, dia berasa sangat gembira kerana burger yang diagihkan dapat itu dikongsi bersama ibu bapanya susulan saiz yang besar.

"Air di kawasan rumah saya sudah surut tetapi masih pada paras tinggi. Jadi untuk datang ke tempat agihan burger, saya ditemani oleh abang kerana risau akan keselamatan diri.

"Sejujurnya, saya bosan terpaksa di rumah sahaja kerana terperangkap oleh banjir, tetapi dengan adanya burger percuma ini saya teruja dan gembira," katanya.

Sementara itu, wakil NGO Thirdforce Rantau Panjang, Tuan Zaimah Raja Omar, berkata inisiatif mengagihkan burger itu sebagai salah satu usaha meredakan kesedihan mangsa banjir yang terpaksa berhadapan bah dalam tempoh yang agak lama.

"Sebelum ini kami sudah turun padang menyampaikan sumbangan makanan dan kewangan, namun membuat kelainan dengan mengagihkan burger dengan memfokuskan kepada golongan kanak-kanak.

"Semoga agihan burger ini mampu memberi senyuman kepada anak-anak yang terkesan dengan banjir selain ucapan jutaan terima kasih kepada penyumbang yang menyalurkan sumbangan melalui YRS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 10:43 AM