Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Sebanyak 70 keluarga membabitkan 350 mangsa banjir yang terperangkap di Kampung Tasek Bakong dan Kampung Padang Licin, di sini, menarik nafas lega apabila menerima barangan keperluan asas.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS) yang peka dengan nasib penduduk terbabit.

Penerima, Mohd Nasir Yakub, 50, berkata dia amat berterima kasih kerana sumbangan berkenaan adalah yang pertama diterima selepas hampir seminggu mereka terkepung dalam bencana berkenaan.

Katanya, bekalan barangan keperluan asas semakin susut sehingga dia perlu keluar meredah banjir menggunakan perahu sejauh tiga kilometer (km) ke jalan utama sebelum ke kedai berdekatan.

"Kami rasa lega sebaik melihat lori bomba memasuki perkarangan rumah yang digenangi air untuk menyampaikan pelbagai barangan, dapatlah menjadi bekal buat kami yang tidak pasti bila banjir akan surut.

"Saya sangat menghormati anggota bomba kerana bukan sahaja bertungkus lumus membantu mangsa banjir, malah menjalankan program kebajikan demi memastikan orang ramai tidak terputus bekalan makanan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JBPM Kelantan, Anwar Abu Bakar berkata, pihaknya berbesar hati mendapat kerjasama dengan YRS dalam membantu mangsa banjir

Menurutnya, ia sebagai tanda keprihatinan terhadap mangsa banjir yang dalam kesusahan selain berusaha memberi khidmat cemerlang dalam tempoh bah terbabit.

"Sebanyak dua lori dan dua bot digunakan dalam misi bantuan ini," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan banjir di Kampung Tasek Bakong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Penyelaras Thirdforce Pasir Mas Tuan Zaimah Raja Omar.

Muzipah Che Muda, 53,  menerima bantuan barangan keperluan asas daripada Timbalan
Muzipah Che Muda, 53, menerima bantuan barangan keperluan asas daripada Timbalan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 5:52 PM