BERNAMA

Batang Kali: Cerapan awal mendapati runtuhan tanah awal pagi hari ini berpunca daripada kegagalan cerun tambakan berhampiran tapak perkhemahan ​di Father's Organic Farm, Gohtong Jaya di sini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, runtuhan tanah membabitkan sebanyak 450,000 meter padu tanah.

Beliau berkata, dimensi tanah runtuh di kawasan berkenaan membabitkan kawasan sepanjang 500 meter, 200 meter lebar dan sedalam lapan meter.

"Jabatan Mineral dan Geosains akan mengawasi kawasan ini dan akan memberi amaran sekiranya terdapat sebarang pergerakan tanah di lokasi," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.

NIK Nazmi pada sidang media selepas melawat lokasi  kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
NIK Nazmi pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Dalam pada itu Nik Nazmi turut menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dengan risiko tanah runtuh terutama pada musim Monsun Timur Laut ketika ini.

Setakat 1 tengah hari tadi, polis mengesahkan seramai 16 orang terkorban dalam tragedi yang berlaku pada awal pagi itu manakala 17 masih hilang dan 61 lagi berjaya diselamatkan.

ANGGOTA bomba dan Jabatan Pertahanan Malaysia (APM) melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat di lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali.
ANGGOTA bomba dan Jabatan Pertahanan Malaysia (APM) melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat di lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 5:39 PM