Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor hari ini. FOTO BERNAMA
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor hari ini. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Kubu Bharu: Sebanyak 10 laporan polis diterima dengan lima kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu berlangsung.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya turut membuat dua tangkapan sepanjang tempoh berkenaan.

"Lima laporan yang dibuka kertas siasatan adalah kejadian ubah suai logo parti, meletakkan gambar Yang Dipertuan Agong, menampal poster Perdana Menteri, penafian video tular serta fitnah.

"Daripada lima kes ini, satu daripadanya sudah dituduh di mahkamah iaitu kes meletakkan gambar Yang Dipertuan Agong," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi lima lagi laporan polis, beliau berkata, empat daripadanya dibuat oleh pasukan Op Cantas yang melakukan pemeriksaan sepanjang tempoh itu.

"Empat laporan itu diklasifikasikan sebagai rujuk kepada agensi lain (ROR), manakala satu lagi laporan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

"Hasil pemantauan dilakukan pihak polis sepanjang tempoh itu juga mendapati semua kempen dan ceramah dijalankan mempunyai permit. Ia membabitkan 107 kempen dan 78 ceramah," katanya.

Menurutnya, seramai 1,133 pegawai dan anggota polis dari Kontinjen Selangor dikerahkan bagi penugasan PRK Kuala Kubu Bharu.

"Kami menasihatkan calon bertanding dan penyokong supaya sentiasa menghormati dan mematuhi undang-undang sepanjang tempoh pilihan raya ini termasuk pada esok yang juga hari mengundi.

"Elakkan menyentuh isu 3R (Raja, Agama dan Bangsa) selain membuat sebarang provokasi serta perkara yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.

Beliau turut memberi jaminan keselamatan setiap pengundi yang keluar mengundi esok.

"Semua pengundi serta pihak yang terbabit diingatkan supaya meletakkan kenderaan di tempat bersesuaian.

"Elakkan meletak kenderaan di bahu jalan atau mana-mana kawasan yang boleh menghalang kelancaran trafik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 9:33 PM