ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Jalan Genting -  Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Jalan Genting - Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Raja Noraina Raja Rahim


Hulu Selangor: "Penat memang penat tapi demi tugas dan tanggungjawab, saya kuatkan semangat. Saya rasa puas hati apabila dapat selamatkan nyawa mangsa," kata anggota bomba, Mohamad Nur Hafifi Md Radzi.

Mohamad Nur Hafifi, 24, dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya terbabit operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting Highlands-Batang Kali, di sini, sejak hari pertama.

Beliau memulakan tugas pada jam 12 tengah hari Jumaat lalu sehingga jam 11 malam dan menyambung semula tugasnya pada jam 8 pagi semalam sehingga hari ini.

"Pada hari pertama, saya bersama pasukan tertumpu kepada usaha menyelamatkan mangsa yang masih hidup dan tertimbus di kawasan Sektor A.

"Semasa operasi itu, saya berjalan di kawasan 'hotspot' runtuhan dan apabila nampak saja tangan dan kaki mangsa, saya segera keluarkan mangsa.

"Kebanyakan mangsa berjaya ditemui selamat tapi ada antara mereka yang cedera. Kesemua mereka kemudian dikeluarkan dari kawasan runtuhan untuk rawatan dan tindakan lanjut," katanya ketika ditemui Harian Metro.

ANGGOTA penyelamat menggunakan radar mengesan objek di dalam tanah ketika melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Jalan Genting -  Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ANGGOTA penyelamat menggunakan radar mengesan objek di dalam tanah ketika melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Jalan Genting - Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Mohamad Nur Hafifi yang berpengalaman enam tahun di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu mengakui kali pertama berdepan tragedi runtuhan tanah besar sedemikian.

Katanya, cuaca hujan selain masih ada pergerakan tanah menjadi cabaran pasukan penyelamat termasuk bantuan daripada pelbagai agensi keselamatan lain, namun mereka terus berusaha mencari dan menyelamat mangsa.

"Saya memang suka cabaran. Niat saya nak membantu mangsa, jadi saya bersemangat dan lupakan rasa penat," katanya.

Sementara itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam, Syed Rosdi Syed Mustafa, 31, berkata pergerakan tanah serta aliran air bawah tanah menjadi cabaran buat anggota JBPM dalam operasi berkenaan.

Beliau bertugas selama 48 jam di Sektor C (Riverside) bermula jam 7 pagi semalam, bagi memantau jentera pengorek (excavator) yang mengorek tanah di lokasi bagi mengelak terkena anggota badan mangsa yang kemungkinan tertimbus di kawasan carian.

"Kami berdepan risiko tanah mendap disebabkan oleh aliran air di bawah tanah memandangkan Sektor C terletak berhampiran anak sungai.

"Jadi saya dan rakan perlu lebih berhati-hati bagi mengelak terjerlus ke dalam tanah. Alhamdulillah, tiada anggota yang tercedera sepanjang operasi," katanya.

Syed Rosdi yang berpengalaman lebih 12 tahun dalam pasukan JBPM kali pertama terbabit dalam operasi SAR tanah runtuh.

Bagaimanapun, katanya, beliau pernah terbabit dalam operasi menyelamat mangsa kemalangan bas terjunam dalam gaung di Balik Pulau, Pulau Pinang, pada 2012 selain operasi biasa lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 4:23 PM