Hazira Ahmad Zaidi


Pasir Mas: Setiap kali banjir, warga emas ini menggunakan bot fiber miliknya untuk membantu memindahkan penduduk kampung secara sukarela.

Khidmat bakti itu sudah dilakukan Che Harun Awang, 65, sejak 15 tahun lalu dan tiga hari lalu, botnya sekali lagi beroperasi membantu urusan penyelamatan oleh pasukan penyelamat di Kampung Teresek di sini.

Katanya, dia melakukan aktiviti itu secara sukarela dan tidak meminta sebarang bayaran kerana niatnya mahu membantu dan asalkan penduduk kampung selamat.

"Sejak tiga hari lalu saya berulang-ulang sejauh empat kilometer (km) bersama-sama dengan pasukan keselamatan untuk membantu membawa mangsa banjir ke tempat yang selamat sebelum mereka dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang.

"Setiap kali mendayung bot, saya pastikan berhati-hati kerana bimbang arus deras, selain tidak nampak tunggul kayu yang boleh menyebabkan bot tersangkut," katanya ketika ditemui di Kampung Teresek di sini, hari ini.

Bapa kepada lapan anak itu berkata, bot berkenaan dibelinya kerana penempatan yang kerap dilanda banjir, malah ia pengangkutan utama apabila tibanya musim tengkujuh.

"Penempatan saya mula dinaiki air sejak Jumaat lalu akibat hujan lebat yang berterusan dan kini saya bersama ahli keluarga yang lain sudah empat hari berada di PPS SK Sri Kiambang.

"Dalam tempoh sebulan, kami sekeluarga sudah dua kali berpindah ke PPS dan tempoh paling lama berada di PPS adalah selama enam hari sebelum air di kawasan rumah surut," katanya.

Sementara itu, menerusi maklumat portal Info Bencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,626 orang setakat 1 tengah hari, berbanding 1,157 orang pada 8 pagi.

Sebuah lagi PPS dibuka di daerah ini menjadikan keseluruhan enam PPS beroperasi bagi menampung 504 keluarga.

Lima jalan ditutup di Pasir Mas termasuk dua bagi semua kenderaan, iaitu Jalan Pengkalan Rakit- Batu Karang dan Jalan SK Gual Tok Deh, manakala tiga lagi bagi kenderaan ringan, Jalan Panglima Bayu- Rantau Panjang- Jeram Perdah, Jalan Tok Deh- Gua Periok dan Jalan Sekolah Cina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 4:28 PM