Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,626 orang sehingga 1 tengah hari ini berbanding 1,157 orang pada 8 pagi hari ini.

Jumlah itu meningkat berikutan sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Pasir Mas pagi hari ini menjadikan keseluruhan enam PPS yang menempatkan 504 keluarga.

Menerusi laman web infobencanajkmv2.jkm.gov.my, PPS yang baharu dibuka adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang yang menempatkan 124 mangsa.

Selain itu, mangsa banjir lain berada di SK Tok Deh yang turut meningkat kepada 680 orang berbanding 590 mangsa pagi hari ini.

Mangsa lain ditempatkan di SK Gual Periok (448 orang), SK Kubang Kual (179 orang), PPS Putat Tujoh dengan jumlah 132 orang dan Masjid Mukim Padang Licin seramai 63 orang.

Mereka terdiri daripada 561 lelaki dewasa, 527 wanita dewasa, 500 kanak-kanak lelaki dan perempuan serta 38 bayi.

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan melaporkan lima jalan ditutup di daerah Pasir Mas iaitu Jalan Pengkalan Rakit- Batu Karang, Jalan SK Gual Tok Deh yang ditutup kepada semua kenderaan.

Tiga jalan lagi, Jalan Panglima Bayu- Rantau Panjang- Jeram Perdah, Jalan Tok Deh- Gua Periok dan Jalan Sekolah Cina ditutup kepada kenderaan ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 2:09 PM