Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Keadaan banjir di Kelantan semakin baik apabila hanya satu daerah sahaja yang masih terjejas iaitu Pasir Mas.

Jumlah mangsa sehingga 9 pagi ini juga semakin berkurangan kepada 1,559 orang daripada 532 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS, berbanding 1,782 orang petang semalam.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ini berikutan semua PPS di Kuala Krai dan satu PPS di Pasir Mas ditutup bermula petang semalam sehingga pagi ini.

Mangsa banjir paling ramai berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dengan jumlah 458 orang, diikuti SK Kubang Kual (314 orang), SK Gual Periok (279 orang) dan SK Gual Tinggi (160 orang).

Selain itu, mangsa banjir juga ditempatkan di SK Sri Kiambang (135 orang), PPS Putat Tujoh (79 orang), Masjid Mukim Padang Licin (69 orang) dan SK Kedai Tanjong (65 orang).

Sementara itu, menurut portal eBanjir Kelantan, tujuh jalan yang masih ditutup iaitu empat di Pasir Mas dan tiga di Kuala Krai.

Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Jirat, Jalan masuk ke Kampung Baru Pahi, Jalan Bukit Sireh/ Kampung Bedal/ Kuala Nal di Kuala Krai.

Pasir Mas pula, ia membabitkan Jalan Balai Polis Jeram Perdah, Jalan Pengkalan Rakit- Batu Karang, Jalan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh dan Jalan Lubok Kiat- Kubang Kuau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 10:13 AM