Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Situasi banjir di Terengganu semakin buruk apabila jumlah mangsa kini mencecah 4,419 orang.

Setakat 8 pagi, semua mangsa daripada 1,304 keluarga itu dipindahkan ke 90 pusat pemindahan sementara (PPS).

Ia menunjukkan pertambahan jumlah mangsa berbanding malam tadi yang hanya merekodkan seramai 3,813 mangsa daripada 1,103 keluarga, ditempatkan di 81 PPS di seluruh Terengganu.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, daerah Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila seramai 2158 mangsa daripada 579 keluarga dipindahkan ke 21 PPS.

Di Setiu, seramai 802 mangsa terjejas dan sebanyak 22 PPS dibuka bagi menempatkan 246 keluarga.

Seramai 689 mangsa daripada 274 keluarga dipindahkan ke 14 PPS di Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, jumlah mangsa di Besut menunjukkan sedikit penurunan apabila seramai 396 mangsa daripada 100 keluarga berada di 20 PPS berbanding 433 mangsa, malam tadi.

Di Kuala Nerus, sebanyak 54 keluarga membabitkan 173 mangsa masih berada di lima PPS.

Seramai 37 keluarga membabitkan 138 mangsa di Dungun pula berada di lima PPS di daerah berkenaan.

Di Kuala Terengganu, seramai 58 mangsa daripada 13 keluarga terjejas dan Marang merekodkan jumlah mangsa terendah setakat ini apabila lima mangsa daripada satu keluarga berada di sebuah PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 9:03 AM