KETUA Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli. FOTO FB AHMAD FAEDZAL
KETUA Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli. FOTO FB AHMAD FAEDZAL
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Institut Sukan Negara (ISN) dan Road To Gold (RTG) serta beberapa pihak berkaitan akan bekerjasama memastikan atlet Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 berada dalam kondisi terbaik dari segi kesihatan terutama jantung.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, perkara itu penting bagi memastikan setiap atlet benar-benar cergas sepenuhnya tanpa terpalit dengan kecederaan serius sehingga akan menjejaskan prestasi dalam memburu pingat di pentas terbesar dunia itu.

Beliau berkata, antara perkara dititikberatkan adalah pemeriksaan jantung atlet kerana ia komponen amat penting untuk mereka beraksi di pentas terbesar dunia itu.

"Perkara ini amat penting (kesihatan), semua atlet ke Paris 2024 kita sudah maklumkan kepada RTG yang kita akan buat ujian saringan jantung dan sedang laksanakan pada masa ini.

"Diharapkan sekiranya ada data (kita akan kongsi lebih lanjut), tapi pada masa ini, OK. Semua atlet yang kita sudah 'screen', OK. Jadi, ini adalah usaha kita," katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan apa yang terjadi kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengenai kesihatan jantungnya itu menjadi jambatan untuk pihaknya lebih memahami aspek kardioliogi atlet.

Jelasnya, ISN secara terbuka meminta mana-mana pihak yang berminat boleh bekerjasama untuk mengkaji lebih mendalam isu berkenaan kardiologi atlet itu.

"Dalam data kita, tiada kes berkaitan 'sudden cardiac arrest' atau serangan jantung. Malah, dalam kes Datuk Azizul pun, ia boleh bersifat 'anomalous', bukannya bersifat serangan atau 'sudden attack'.

"Kajian yang kita nak berhubung sekarang ini, pengamal perubatan sukan dan mungkin kardiologis yang berminat dalam sukan untuk bersama-sama mengkaji kajian lebih bersifat kebangsaan.

"Saya percaya perkara ini masih bidang baru terutama di Malaysia dan di Asia untuk kita memperkatakan lebih dalam lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 5:30 PM