AMIRUDIN Shari (tengah) berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena menyambut Hari Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang ke-77 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Balairung Istana Alam Shah Klang hari ini. FOTO Bernama.
AMIRUDIN Shari (tengah) berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena menyambut Hari Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang ke-77 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Balairung Istana Alam Shah Klang hari ini. FOTO Bernama.
Norzamira Che Noh


Klang: Keprihatinan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap kebajikan rakyat menjadi inspirasi pentadbiran kerajaan negeri mendepani cabaran pandemik Covid-19 dan politik pasca Februari 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, susulan itu barisan kepimpinan kerajaan negeri bertekad untuk terus menggembleng usaha bagi memulihkan keadaan dan kehidupan rakyat.

"Sejak berdepan krisis ini Covid-19 dan krisis politik) keresahan dan keluhan rakyat semakin kuat. Alhamdulillah, kerajaan Tuanku yang dipayungi pedoman dan teladan memperkukuhkan tekad bersama pimpinan negeri termasuk akar umbi menggembleng usaha untuk memulihkan keadaan serta kehidupan rakyat Selangor.

"Keprihatinan Tuanku terhadap kebajikan rakyat jelata sentiasa menjadi inspirasi untuk tekun berusaha demi kesejahteraan rakyat dan kesentosaan negeri.

"Malah, patik juga berazam dan beriltizam untuk memastikan negeri ini pulih lebih gemilang dan hebat, membantu rakyat bangkit segera daripada kesan pandemik serta ketidaktentuan politik sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan sembah taat setia sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Sharafuddin Idris Shah ke-77 di Balairung Seri, Istana Alam Shah hari ini.

Amirudin diiringi Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian yang mewakili rakyat berbangsa Cina dan Exco Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja Ganabatirau Veraman mewakili rakyat berbangsa India.

Sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan kali ini, Sultan Selangor berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 104 penerima.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendahului senarai penerima dengan menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) membawa gelaran Datuk Seri.

Berangkat mengiringi baginda adalah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 6:20 PM