PASUKAN Hazmat melakukan kerja-kerja pembersihan bahan di kilang di Jalan Tanjung Bunga, Taman Tasik Jaya Senawang. FOTO ihsan bomba
PASUKAN Hazmat melakukan kerja-kerja pembersihan bahan di kilang di Jalan Tanjung Bunga, Taman Tasik Jaya Senawang. FOTO ihsan bomba
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan mengesan berlaku kebocoran bahan kimia jenis asid hidroklorik di sebuah kilang di Jalan Tanjung Bunga, Taman Tasik Jaya Senawang, di sini, tengah malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, Mohamad Idris berkata, kejadian dikesan anggota BBP Senawang dibantu Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Seremban 2.

Katanya, mereka menerima maklumat itu pada jam 12.40 tengah malam dan dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, pegawai operasi mendapati sebuah tong berisi 1,000 liter bahan kimia asid hidroklorik mengalami kebocoran sebanyak 250 liter.

"Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini," katanya di sini hari ini.

Mohamad berkata, pihaknya bersama unit Hazmat menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi berkenaan dan setakat ini tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 12:20 PM