Seramai 32 anggota JJBPM  membersihkan tumpahan 200 liter asid hidroklori. FOTO IHSAN JBPM
Seramai 32 anggota JJBPM membersihkan tumpahan 200 liter asid hidroklori. FOTO IHSAN JBPM
Mohamed Farid Noh

KIRA-KIRA 200 liter sebatian kimia asid hidroklorik tumpah selepas sebuah treler di Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Linkedua arah utara di Iskandar Puteri, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.28 pagi itu, dua jentera, sebuah EMRS, sebuah jentera Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dan empat kenderaan utiliti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikejarkan ke lokasi kejadian.

Komander Operasi, Lokman Hakim Sulaiman berkata, 32 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Skudai, Larkin dan Zon 1 turut dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya bomba di lokasi kejadian mendapati berlaku tumpahan kimia asid hidroklorik berkepekatan 33 peratus untuk memproses cuka makanan dari sebuah treler.

"Didapati bahan kimia berkenaan tumpah dari kawasan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Tanjung Kupang sehingga selepas Plaza Tol Tanjung Kupang.

"Kejadian berkenaan disedari pemandu treler yang membawa muatan berkenaan dari Singapura untuk dihantar ke sebuah kilang di Pasir Gudang apabila beliau berhenti bagi memeriksa tayar belakang kenderaan berkenaan yang berasap.

"Pemeriksaan pemandu treler berkenaan mendapati lelehan bahan kimia berkenaan keluar menerusi kebocoran tangki simpanan yang diperbuat daripada plastik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lokman Hakim berkata, pihaknya mengambil masa empat jam setengah bagi melakukan kerja pembersihan.

"Kerja pembersihan baharu tamat jam 4.07 petang dengan menggunakan serbuk soda dan semburan air di kawasan lebuh raya termasuk air di longkang di sekitar kawasan tumpahan.

"Kerja pembersihan dilakukan sehingga bahan kimia berkenaan mencapai paras neutral (PH7)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 6:26 PM