PASUKAN HAZMAT dan CBRNe Perak memantau kerja pemindahan asid hidroklorik daripada sebuah tangki yang mengalami kebocoran di Kilometer 361 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Slim River, malam tadi. FOTO ihsan bomba.
PASUKAN HAZMAT dan CBRNe Perak memantau kerja pemindahan asid hidroklorik daripada sebuah tangki yang mengalami kebocoran di Kilometer 361 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Slim River, malam tadi. FOTO ihsan bomba.
Muhammad Apendy Issahak


KEBOCORAN bahan kimia dikesan membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan 35,000 kilogram (kg) asid hidroklorik di Kilometer 361 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Slim River, malam tadi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebocoran bahan kimia terbabit pada 7.43 malam dan sehingga 11.30 malam, operasi menangani insiden itu masih dijalankan.

Beliau berkata, operasi dijalankan BBP Slim River dengan bantuan Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) dan Pasukan Khas Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear serta Letupan Nuklear (CBRNe) negeri.

“Kejadian membabitkan lori tangki membawa muatan asid hidroklorik (UN1789) yang dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur dan dilaporkan mengalami kebocoran pada bahagian injap.

“Pemandu lori berkenaan berhenti di tepi jalan selepas pemandunya menyedari kebocoran berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, lori berkenaan membawa muatan 35,000kg bahan asid dan kerja memindahkan bahan terbabit ke dua lori lain sedang giat dijalankan dengan pemantauan pasukan HAZMAT dan CBRNe negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 12:58 AM