PUSAT pusat pemindahan sementara dibuka di Balairaya Kampung Pasir Putih pada 6 petang. FOTO ihsan APM
PUSAT pusat pemindahan sementara dibuka di Balairaya Kampung Pasir Putih pada 6 petang. FOTO ihsan APM
GAMBAR yang tular di media sosial menunjukkan kenderaan menuju ke Johor Bahru melalui Lebuhraya Pasir Gudang terkandas selepas jalan dinaiki air banjir  mengakibatkan berlaku kesesakan lalu lintas. FOTO ihsan pembaca
GAMBAR yang tular di media sosial menunjukkan kenderaan menuju ke Johor Bahru melalui Lebuhraya Pasir Gudang terkandas selepas jalan dinaiki air banjir mengakibatkan berlaku kesesakan lalu lintas. FOTO ihsan pembaca
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Hujan lebat kira-kira sejam di beberapa kawasan di daerah ini menyebabkan kawasan Kampung Pasir Putih dekat Pasir Gudang dilanda banjir, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, turut dilanda banjir kilat ialah kawasan Lebuhraya Pasir Gudang antara 4.45 petang hingga 6 petang.

"Bacaan hujan pada petang tadi mencecah 71 milimeter (mm) selama sejam bermula 4.30 petang hingga 5.30 petang.

"Keadaan itu menyebabkan banjir kilat sedalam 0.6 meter berlaku yang dipercayai kerana kadar hujan dengan keamatan yang tinggi," katanya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Balairaya Kampung Pasir Putih pada 6 petang dan sehingga 8 malam tadi, sebuah keluarga terdiri daripada empat orang terpaksa dipindahkan ke PPS berkenaan berikutan kediaman yang terjejas akibat banjir.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor Bahru, Leftenan (PA) Mohd Aziz Jupri berkata, turut terjejas Jalan Masai dekat Taman Rinting yang dinaiki air antara 0.5 meter hingga semeter pada 4.30 petang tadi.

Beliau berkata, keadaan itu turut menyebabkan lalulintas di jalan berkenaan terjejas.

"Jalan Masai adalah kawasan rendah menyebabkan air naik apabila hujan lebat sebentar tadi.

"Tiada kenderaan yang terperangkap, namun lalulintas terhalang kira-kira sejam," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, air sudah mulai surut sejak 5 petang tadi dan pihaknya masih menjalankan pemantauan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 10:11 PM