ROSLEE (dua kiri) menyerahkan pakaian seragam SUKSIS milik anaknya, Muhammad Aqil kepada Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff (dua kanan) selepas Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-24 di Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
ROSLEE (dua kiri) menyerahkan pakaian seragam SUKSIS milik anaknya, Muhammad Aqil kepada Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff (dua kanan) selepas Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-24 di Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Pakaian seragam Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) milik graduan yang menerima ijazah secara anumerta, Allahyarham Muhammad Aqil Roslee, diwakafkan kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sempena Majlis Istiadat Konvokesyen ke-24 di Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini.

Bapanya, Roslee Fadzil, 59, menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Sains Kejurulatihan) secara anumerta daripada Pro-Canselor berkata anak ketiga daripada lima beradik itu mengalami kemalangan ketika menjalani Latihan Industri di Parit Buntar, Perak.

"Anak saya yang menyewa di Jejawi menaiki motosikal dalam perjalanan ke sebuah gimnasium tempatnya menjalani Latihan Industri di Parit Buntar, namun mengalami kemalangan kira-kira jam 10 malam di Nibong Tebal," katanya ketika ditemui di Bilik Media, hari ini.

Roslee, pesara Pasukan Gerak Am (PGA) Ulu Kinta yang kini menetap di Sik, Kedah hadir bersama isterinya , Nor Bahagia Zainol, 53; dan dua orang anaknya, Noramalina, 28 serta Lutfi Hadi, 23.

Katanya, arwah sangat seronok tinggal di rumah baharu mereka dan suka berada di ruang tamu sambil mengusik ibu dan saudaranya yang lain.

"Arwah suka tolong ibunya di dapur sewaktu ibu memasak serta membantu saya memesin rumput di halaman atau kebun," katanya.

Roslee menyumbangkan pakaian seragam SUKSIS arwah anaknya itu kepada UPSI yang diwakili oleh Naib Canselor , Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff selepas selesai istiadat penganugerahan ijazah yang disampaikan oleh Pro -Canselor, Tan Sri Prof Emeritus Dr Zakri Abdul Hamid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 10:06 PM