Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.
Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bertitah menyeru supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk menggunakan logo atau nama Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) untuk kepentingan komersial.

Baginda bertitah, YKTLJ ditubuhkan bagi membantu rakyat Johor yang memerlukan rawatan bagi penyakit barah.

"Sebagai bonda kepada Almarhum Tunku Laksamana Johor, saya berharap saya dapat menjalankan tugas saya sebagai pengerusi yayasan ini.

"Almarhum dan kami sekeluarga berniat menolong rakyat Johor yang memerlukan rawatan kanser.

"Saya akan cuba menjaga nama baiknya dan tidak mahu mana-mana pihak menggunakan logo atau nama Yayasan ini semata-mata untuk kejayaan komersial perniagaan mereka," titahnya.

Baginda bertitah, sepanjang enam tahun sejak penubuhan iaitu sehingga Oktober 2022, YKTLJ berjaya membantu 3,078 pesakit kanser dengan nilai dana bantuan dan rawatan sejumlah RM10.2 juta.

"Selain itu, Yayasan ini turut mendorong usaha menambah baik kemudahan beberapa hospital di Johor bagi meningkatkan keselesaan pesakit kanser ketika menjalani proses rawatan.

"Sejumlah RM1.78 juta turut digunakan untuk menambah baik kemudahan pejuang kanser dalam negeri Johor ini dan memanfaatkan lebih 100,000 insan.

"YKTLJ yakin usaha dan inisiatif membantu pesakit kanser akan diperluas seiring peredaran zaman serta berharap sokongan semua pihak kepada YKTLJ akan berterusan, malah bertambah kukuh," katanya.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Makan Malam Amal Rays of Light di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, malam tadi.

Majlis terbabit berjaya mengumpul dana sebanyak RM1,002,000 yang akan digunakan bagi aktiviti YKTLJ.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 10:53 AM