Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan mempengerusikan mesyuarat Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. FOTO ROYAL PRES OFFICE
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan mempengerusikan mesyuarat Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. FOTO ROYAL PRES OFFICE
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan mengurniakan elaun bulanan baginda kepada dana pentadbiran Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ).

Baginda bertitah, pada ketika ini, rakyat berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi dan banyak pihak terkesan disebabkan penularan wabak Covid-19.

"Oleh demikian, saya membuat keputusan untuk mengurniakan elaun bulanan saya kepada dana pentadbiran yayasan," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) di Istana Bukit Serene, di sini, hari ini selepas berkenan mempengerusikan mesyuarat YRZSNJ.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YRZSNJ, Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishamuddin Abdul Rahim, Bendahari Kehormat YRZSNJ, Mohammad Nazrul Abd Rahim dan Setiausaha syarikat, Lilian Low.

Baginda bertitah, mesyuarat itu membincangkan usaha membantu anak-anak pesakit kanser daripada golongan B40 dengan kerjasama Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

"Turut dibincangkan mengenai pembiayaan pengajian peringkat diploma bagi kursus seni ukiran kayu, di mana bakat anak muda Johor boleh dimanfaatkan sebagai tenaga kerja bertauliah di The Johor Collection.

"Pada masa sama menjadi sumber pendapatan mereka pada masa akan datang," titah baginda.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 5:24 PM