Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled Nordin.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif Boustead Holdings Bhd, berkuat kuasa pada 5 Ogos 2021.

Dalam kenyataan menerusi akaun facebook hari ini, beliau yang juga Naib Presiden Umno menyifatkan tindakan itu sebagai mengambil tanggungjawab selaku ahli yang terus akur serta hormat dengan sebarang keputusan dan ketetapan parti.

"Umno secara jelas telah membuat ketetapan untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Mohamed Khaled turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan Boustead Holdings yang memberi komitmen dan kerjasama baik sepanjang perkhidmatan beliau sejak Mei 2020.

"Saya yakin dan percaya syarikat kini berada di landasan tepat untuk terus berperanan dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, khususnya dalam memastikan pulangan berterusan kepada pemegang saham utama iaitu tabung persaraan tentera, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)," katanya.

Pada Selasa, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengulangi pendirian Majlis Tertinggi (MT) untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT secara maya pada malam Isnin, beliau berkata, surat akuan Ahli-Ahli Parlimen Umno adalah mencukupi untuk menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin dan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, Boustead Holdings berkata, sebelum dilantik sebagai pengerusi, Mohamed Khaled adalah Menteri Besar Johor bagi tempoh 2013-2018 dan pernah dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi pada 2008-2013.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 9:05 PM