PEKERJA membaiki bumbung rumah yang rosak akibat dipukul angin kencang. FOTO Danial Noordin
PEKERJA membaiki bumbung rumah yang rosak akibat dipukul angin kencang. FOTO Danial Noordin

ALOR SETAR: Sekurang-kurangnya 13 buah rumah di Taman Wira Mergong di sini, mengalami kerosakan setelah dilanda angin kencang dan pusaran kecil puting beliung, hari ini.

Kejadian kira-kira 1.15 petang itu berlaku hanya selepas dua hari kejadian puting beliung melanda lima kawasan di daerah Kota Setar.

Ketua Cawangan Blok E Taman Wira Mergong, Ahmad Ishak, 60, berkata, ini merupakan kali ketiga kejadian seumpama itu berlaku dalam tempoh dua tahun sejak 2012 dan kejadian pertama tahun ini.

"Kejadian seperti ini pernah berlaku dua tahun lalu dan sama seperti sebelum ini, ia berlaku ketika cuaca cerah dan angin datang dalam tempoh yang sangat singkat. Tetapi saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa.

"Kebanyakan rumah yang terlibat rosak di bahagian bumbung dan hanya tiga buah yang mengalami kerosakan teruk tetapi pelbagai pihak telah tampil menghulurkan bantuan dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah melihat kerosakan yang dialami penduduk," katanya kepada pemberita di sini hari.

Sementara itu, Adam Abdullah, 30, berkata, ketika kejadian dia berada di luar rumah sedang menjemur pakaian sebelum mendengar bunyi angin kuat serta pusaran puting beliung kecil datang dari arah bertentangan rumahnya.

"Saya tengah sidai baju. Selepas itu saya dengar bunyi angin kuat dan lihat ada bumbung rumah jiran yang diterbangkan angin dan angin kencang itu terus menghala ke kawasan rumah saya.

"Saya terus meluru masuk ke dalam rumah untuk menyuruh isteri dan anak yang berumur satu tahun lebih menyorok di bawah meja kerana bimbang akan berlaku kejadian seperti di Mergong dua hari lepas tetapi saya bersyukur kerana ia tidak serius," katanya.

Jamilah Mard, 20, yang juta pelajar semester lima jurusan Perbankan di Kolej Universiti Insaniah berkata, ketika kejadian dia bersama empat teman rumahnya sedang mengulang kaji pelajaran di ruang tamu sebelum mendengar angin kuat di bahagian dapur rumah mereka.

"Kami sedang mengulang kaji pelajaran sebelum mendengar bunyi angin kuat dan tiba-tiba sahaja bumbung di bahagian dapur dibawa angin.

“Kejadian berlaku sekelip mata... kami tak mampu berbuat apa-apa dan tergamam melihat bumbung diterbangkan angin satu persatu," katanya.

Pada Jumaat lalu, 71 buah rumah dan sebuah klinik desa rosak dalam kejadian puting beliung yang berlaku pada 5 petang, melibatkan Kampung Mergong Hilir, Kampung Batin, Kampung Sungai Baru, Taman Inang dan Taman Mergong Jaya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 10:58 PM