Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Isu darurat, ekonomi dan Covid-19 antara perkara yang disentuh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Ketua Pembangkang itu berkata, beliau turut menzahirkan kebimbangan berkaitan darurat yang memberi impak buruk kepada ekonomi negara dan golongan miskin serta melarat.

"Saya bangkitkan juga soal ujian saringan (Covid-19) yang rendah ketika ini serta angka jangkitan dan kematian yang amat membimbangkan.

"Saya turut menyebut bahawa tidak ada kewajaran untuk melanjutkan darurat melebihi dari 1 Ogos dan ia amat wajar untuk ditamatkan secepat mungkin," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

ANWAR meninggalkan perkarangan pintu 2 Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. FOTO Asyraf Hamzah
ANWAR meninggalkan perkarangan pintu 2 Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. FOTO Asyraf Hamzah

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Anwar yang juga Presiden PKR selama kira-kira sejam.

Anwar berkata, beliau terharu dengan kearifan dan keprihatinan Seri Paduka terhadap perkembangan semasa berkaitan pandemik Covid-19 yang semakin meruncing.

Tujuh pemimpin utama parti politik negara mengadap Al-Sultan Abdullah minggu ini di Istana Negara, termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beberapa pemimpin parti juga sudah mengesahkan pertemuan itu namun tidak mengulas lanjut.

Berita berkaitan

PM menghadap Agong di Istana Negara [METROTV]

Pemimpin komponen GPS menghadap Agong Isnin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 1:54 PM