Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Abdullah Sani (dua dari kiri) melakukan peninjauan di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Seri Selangor, Subang Jaya, semalam. FOTO OWEE AH CHUN
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Abdullah Sani (dua dari kiri) melakukan peninjauan di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Seri Selangor, Subang Jaya, semalam. FOTO OWEE AH CHUN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menghadapi pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan tempoh pembentukan kerajaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, semua elemen digerakkan untuk memastikan ketenteraman awam terjamin bagi tujuan itu.

"PDRM akan mengambil tindakan tegas bagi menangani tindakan mana-mana pihak yang dikesan cuba mengancam tahap keselamatan negara.

"Justeru itu, PDRM menyeru dalam tempoh Pasca PRU-15 ini supaya tiada mana-mana pihak cuba menimbulkan perkara-perkara yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai proses pembuangan undi, semalam, beliau memaklumkan ia berjalan dengan lancar.

Terdahulu, media melaporkan Parlimen Malaysia boleh disifatkan kini berada dalam keadaan tergantung atau 'Hung Parliament' selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tiada parti memperoleh majoriti lebih 50 peratus daripada 219 kerusi dipertandingkan pada PRU-15, semalam.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, dipetik berkata setakat jam 4.30 pagi tadi, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30, Gabungan parti Sarawak (GPS) 22, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Parti Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia (satu).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 2:39 PM