Kelihatan pegamal media mula berkampung di depan pintu 2 Istana Negara menunggu kehadiran ketua parti bagi mengemukan calon Perdana Menteri. FOTO ASWADI ALIAS
Kelihatan pegamal media mula berkampung di depan pintu 2 Istana Negara menunggu kehadiran ketua parti bagi mengemukan calon Perdana Menteri. FOTO ASWADI ALIAS
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Puluhan media mula berkampung di hadapan Pintu 2 Istana Negara, di sini, sejak 7 pagi tadi.

Ia bagi menantikan ketibaan ketua parti dan ketua gabungan politik yang diminta untuk mengemukakan calon Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebelum 2 petang ini.

Sementara itu, keadaan lengang di Pintu Utama Istana Negara berikutan kebanyakan pengamal media berkumpul di Pintu 2 Istana Negara, bagi menantikan kehadiran pemimpin terbabit menghadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Setakat 9 pagi, belum ada kenderaan yang membawa ketua parti dan ketua parti gabungan tiba di Pintu Utama mahupun Pintu 2 Istana Negara.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dilaporkan berkata, gabungan parti politik yang dipersetujui perlu mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti susulan gabungan parti politik untuk menjadi calon Perdana Menteri.

Katanya, Istana Negara sudah menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 1.15 tengah hari, semalam.

Menurutnya, dokumen yang dikemukakan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan bahawa tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Terdahulu, media melaporkan Parlimen Malaysia boleh disifatkan kini berada dalam keadaan tergantung selepas SPR mengumumkan tiada parti memperoleh majoriti lebih 50 peratus daripada 219 kerusi dipertandingkan pada PRU-15, semalam.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, dipetik berkata, setakat jam 4.30 pagi, semalam, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30, Gabungan parti Sarawak (GPS) 22, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Parti Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia (satu).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 9:30 AM