JOHARI Abdul Ghani. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
JOHARI Abdul Ghani. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: "Saya tak suka janji. Saya mahu menjadi seorang yang praktikal," kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, penyelesaian praktikal perlu untuk membawa pembaharuan di satu-satu kawasan.

Apa pun memasuki minggu kedua berkempen, Johari berkata, beliau akan meneruskan kerjanya dengan bersungguh-sungguh untuk menyelami masalah penduduk dalam Parlimen Titiwangsa sebelum akhirnya menyerahkan kepada pengundi untuk menilai dan membuat keputusan.

"(Mengenai) Sambutan penduduk setakat ini seperti Kampung Pandan, Kampung Datuk Keramat, Kampung Baru, saya nampak reaksi penduduk adalah sangat baik.

"Cuma harap pemilih yang duduk di luar kawasan ini, tetapi mengundi di sini supaya tidak membuat pilihan menggunakan sentimen provokasi atau persepsi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis sembang santai bersama penduduk Kampung Pindah di sebuah restoran di sini, dan melakukan ziarah rumah di sekitarnya, di sini, hari ini.

Untuk rekod Johari memiliki latar belakang akauntan profesional termasuk memulakan kerjayanya di firma perakaunan antarabangsa, Peat Marwick & Company serta pernah memegang beberapa jawatan kanan di arena korporat dan sudah membantu syarikat terkenal di Malaysia.

Sementara itu, seorang penduduk setempat warga emas, Idris Minin, 86, berkata dia sudah mengundi sejak pilihan raya pada tahun 1950-an lagi dan sudah berada di bawah pelbagai kepimpinan wakil rakyat.

"Saya sudah hadap semua jenis pemimpin tetapi tidak ada seorang pemimpin yang macam beliau (Datuk Seri Johari Ghani).

"Jadi, rugilah kalau orang Titiwangsa tidak pilih dia. Ini kenyataan dan fakta dan kita tak boleh lari daripadanya.

"Cuba tengok apa jadi di Kampung Baru sekarang ini. Macam-macam masalah.

"Sebelum ini kami semua kena temberang. Pembohongan dan fitnah diterima bulat-bulat penduduk di sini. Apabila pemimpin banyak kali berbohong, lama-lama rakyat akan percaya dan dalam tempoh kesilapan itu rakyat yang akan menanggungnya," katanya.

Johari memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU-13, sebelum dilantik Timbalan Menteri Kewangan pada 2015 dan seterusnya sebagai Menteri Kewangan Kedua selepas rombakan Kabinet pada 2016, namun tsunami politik 2018 pada PRU-14 menyaksikan beliau tewas kepada Datuk Seri Rina Mohd Harun yang meraih majoriti 4,139 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 1:42 PM