KEADAAN beberapa buah rumah penduduk yang ditenggelami air selepas banjir melanda beberapa kampung di Jalan Kuala Paya- Balai Badang ketika tinjauan hari ini. FOTO Bernama
KEADAAN beberapa buah rumah penduduk yang ditenggelami air selepas banjir melanda beberapa kampung di Jalan Kuala Paya- Balai Badang ketika tinjauan hari ini. FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Keadaan banjir di Johor semakin buruk apabila mangsa banjirnya terus melonjak kepada 39,476 penduduk di sembilan daerah terjejas, setakat jam 4 petang ini.

Ia membabitkan seramai 11,463 keluarga, yang dipindahkan ke 247 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di sembilan daerah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata peningkatan mangsa banjir di Johor susulan hujan lebat berterusan yang turun sejak tengah malam tadi di samping keadaan cuaca yang terus buruk di semua 10 daerah di negeri ini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, lebih membimbangkan sebanyak 22 sungai utama terutama di Segamat, Batu Pahat dan Kluang melepasi paras bahaya sekali gus meningkatkan risiko lebih banyak kawasan rendah ditenggelami air banjir.

Beliau berkata, banjir di Johor merekodkan empat kematian setakat ini dengan satu kes di Kluang manakala tiga lagi di Segamat.

"Segamat kekal menjadi daerah paling terjejas dengan mangsanya melonjak kepada 13,583 mangsa daripada 3,988 keluarga di 78 PPS.

"Batu Pahat turut mencatatkan lonjakan mangsa terjejas yang signifikan apabila ia bertambah hampir 2,000 lagi kepada 9,385 mangsa banjir daripada 2,760 keluarga di 52 PPS.

"Ia diikuti Muar dengan mangsa banjirnya turut melonjak kepada 3,492 mangsa daripada 1,026 keluarga di 20 PPS. Mangsa banjir di Kota Tinggi turut naik kepada 3,349 mangsa daripada 888 keluarga di 20 PPS.

"Tangkak juga bertambah seramai 2,664 mangsa banjir daripada 755 keluarga di 23 PPS. Mangsa banjir di Johor Bahru pula menurun dengan 562 penduduk daripada 192 keluarga di lima PPS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, Mersing mencatatkan penurunan dengan mangsa banjir seramai 763 orang membabitkan 226 keluarga di lima PPS.

Manakala katanya, Pontian pula naik kepada 379 mangsa banjir daripada 98 keluarga di lima PPS.

"Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan keadaan hujan lebat berterusan tahap bahaya di Segamat, Kluang dan Mersing sehingga esok.

"Manakala hujan lebat berterusan tahap buruk membabitkan Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

"Setakat jam 4 petang ini, semua 10 daerah negeri ini mengalami hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi sekali gus meningkatkan kebimbangan lebih banyak kawasan bakal terjejas banjir," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, sebanyak 22 sungai utama di negeri ini sudah melepasi tahap bahaya, setakat jam 4 petang ini.

Katanya, ia membabitkan masing-masing tujuh di Segamat, enam di Batu Pahat, tiga masing-masing di Muar dan Kluang serta satu di Kulai.

"Di Segamat, Sungai Segamat di Bandar Segamat melebihi paras bahaya 9.23 meter, Sungai Muar di Lubuk Kepong (20.02 meter), Sungai Muar di Buloh Kasap (20.61 meter) dan Sungai Segamat di Segamat Kecil (38.12 meter).

"Turut melepasi paras bahaya di Segamat adalah Sungai Lenik di Kangkar Chaah (13.82 meter) dan Sungai Lenik di Ladang Chaah (7.01 meter).

"Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok terus mencatatkan paras melebihi tahap bahaya di 20.40 meter, diikuti Sungai Bekok di bandar Yong Peng turut melepasi tahap bahaya 3.49 meter.

"Sungai Simpang Kiri di Seri Medan turut melepasi tahap bahaya di paras 2.70 meter, Empangan Sembrong di Sungai Sembrong (12.62 meter) dan Sungai Sembrong Batu 2 (3.70 meter)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 5:09 PM