TIGA sahabat berpakaian seragam sekolah ketika mengundi di SK Palong Tiga. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
TIGA sahabat berpakaian seragam sekolah ketika mengundi di SK Palong Tiga. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Cuba mengimbau nostalgia apabila tiga sahabat sepakat memakai pakaian sekolah ketika mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Palong Tiga di sini.

Roslina Janian, 42, Faridah Jaffar, 35, dan Murni Hasan, 37 masing-masing adalah anak Felda Palong 3 yang melaksanakan tanggungjawab mengundi jam 9 pagi semalam.

Roslina berkata, dia memilih untuk memakai pakaian sekolah berikutan tempat mengundi dijalankan di sekolah.

"Kami sepakat untuk memakai pakaian pelajar sekolah menengah dan idea ini tercetus tiba-tiba malam tadi.

"Kami mahu membuat sedikit kelainan bagi memeriahkan suasana pengundian. Ia juga simbolik berikutan anak muda berusia 18 tahun sudah boleh mengundi sekaligus mengajak mereka menunaikan tanggungjawab kepada negara," katanya hari ini.

Sementara Faridah memberitahu agak malu memperagakan pakaian sekolah berikutan sudah lama meninggalkan alam persekolahan.

"Saya dan rakan-rakan hanya memakai baju sekolah milik anak-anak. Mujur baju sekolah anak-anak ini muat dipakai sekaligus menyebabkan kami menjadi tumpuan ketika hadir ke pusat pengundian," katanya.

Sementara itu, Murni berkata, tindakannya memakai baju sekolah menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan pada PRU-15 ini.

Pada PRU15 ini, kerusi Parlimen Jempol berdepan dengan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN) diwakili oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli, Noraffendy Salleh (Perikatan Nasional), Norwani Ahmat (Pakatan Harapan) dan Tan Sri Mohd Khalid Yunus mewakili Pejuang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 4:01 PM