TIGA wanita Orang Asli (dari kiri)  Fazila, Ina dan Faridah teruja mengundi kali pertama pada PRU15. FOTO Samadi Ahmad.
TIGA wanita Orang Asli (dari kiri) Fazila, Ina dan Faridah teruja mengundi kali pertama pada PRU15. FOTO Samadi Ahmad.
Samadi Ahmad


Dengkil: Wanita Orang Asli (OA) di sini, teruja dapat menunaikan tanggungjawab kali pertama sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (Asli) Sungai Melut di sini, hari ini.

Suri rumah, Ina Haris, 18, dari Kampung Orang Asli Bakok berkata, dia sangat teruja kerana pertama kali berpeluang mengundi selepas kerajaan menurunkan had umur pengundi muda.

Menurutnya, dia menerima maklumat berkenaan undi muda ini yang dihebahkan melalui media sosial dan televisyen.

Mengakui agak gemuruh dan gementar kerana tiada pengalaman, Ina berkata, dia dapat melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik selepas mengkaji senarai calon yang bertanding sebelum hadir ke pusat mengundi.

"Sebagai masyarakat Orang Asli kami memilih calon yang dapat membantu dan memajukan dalam pelbagai bidang membabitkan masyarakat pribumi ini, "katanya.

Bagi Fazila Bontok, 29, dari Kampung Orang Asli Sungai Melut berkata, ini juga pengalaman pertama dia mengundi apabila terlepas pada PRU-14 kerana tidak menerima maklumat yang tepat berkenaan tempat mengundi.

Dia yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Cyberjaya berkata, peluang dapat mengundi pada PRU-15 tidak dilepaskannya kerana sudah mempunyai calon pilihan sendiri untuk disokong.

Katanya, kita mahu wakil rakyat yang dipilih dapat membantu rakyat seterusnya mewujudkan sebuah kerajaan yang kukuh.

Sementara itu, Faridah Haris, 27, dari Kampung Orang Asli Jambu berkata, sebelum ini dia kurang mendapat pendedahan berkenaan kepentingan menjadi pengundi,

"Namun, selepas mengkaji melalui media sosial baharulah saya faham dan mendaftar sebagai pengundi.

"Kami mahu calon yang dipilih mengotakan janji terhadap rakyat dan menjalankan tanggungjawab dengan amanah serta dedikasi," katanya.

Seramai 1,334 layak mengundi di pusat mengundi SK (A) Sungai Melut dan setakat 11.30 pagi seramai 606 individu sudah melaksanakan tanggung jawab sebagai pengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 12:44 PM