GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Warga emas di Miri kehilangan wang simpanan berjumlah RM900,000 selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian sejak bulan lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, mangsa seorang pesara swasta menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, baru-baru ini.

Menurutnya, mangsa berusia 70-an panik selepas pemanggil memaklumkan dia terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

"Pemanggil menggertak mangsa dengan memberitahunya bagi mengelakkan ditangkap dan membersihkan namanya, dia mesti membuat pembayaran untuk siasatan dan wang itu akan dikembalikan kepadanya selepas itu.

"Mangsa yang bimbang ditangkap, mengikut arahan sindiket itu dan melakukan 117 transaksi ke 21 akaun bank berbeza antara Januari hingga bulan ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, selepas membuat pembayaran sebanyak RM900,000, mangsa membuat semakan di balai polis dan menyedari dia ditipu selepas diberitahu nombor telefon pemanggil itu bukan milik polis.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Miri pada 22 Februari lalu.

Sehubungan itu, Mancha mengingatkan orang ramai supaya tidak melayan sebarang panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali dan tidak panik atau berasa bimbang terhadap sebarang tuduhan yang dibuat terhadap mereka jika mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional di talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan dalam talian.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi Whoscall daripada Google Play Store atau Apple Store untuk membantu menapis panggilan masuk.

"Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dan pengendali Whoscall bekerjasama untuk membenarkan nombor telefon yang disenaraikan dalam pangkalan data sistem jabatan itu ditandakan sebagai penipu oleh aplikasi itu," katanya.

Selain itu katanya, orang ramai juga boleh menyemak nombor telefon dan akaun bank suspek melalui aplikasi Check Scammer CCID atau di laman web https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 4:26 PM