JUNAIDAH bersama Mohd Salman menziarahi pusara Allahyarham Mohd Ali Md Salim yang terkorban dalam tragedi nahas pesawat Malaysia Airlines MH17. FOTO Hairul Anuar Rahim
JUNAIDAH bersama Mohd Salman menziarahi pusara Allahyarham Mohd Ali Md Salim yang terkorban dalam tragedi nahas pesawat Malaysia Airlines MH17. FOTO Hairul Anuar Rahim
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Apa pun keputusannya, ia tidak akan kembalikan masa lalu. Hanya masa yang mampu merawat luka kami sekeluarga," kata Mohd Zaki Md Salim, 46.

Beliau adalah abang kepada mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 terhempas, Mohd Ali Md Salim.

Mohd Zaki berkata, beliau tidak membincangkan mengenai keputusan mahkamah Belanda semalam, yang mendapati tiga daripada empat tertuduh bersalah menembak jatuh pesawat MH17 dengan peluru berpandu buatan Rusia pada 2014.

"Saya tidak pasti (pendapat ahli keluarga yang lain) kerana saya cuba untuk tidak membincangkan perkara ini di dalam kumpulan sembang keluarga di WhatsApp.

"Sebab apabila saya baca berita-berita berkaitan (pesawat MH17), saya sendiri rasa sebak apatah lagi ibu dan adik-beradik lain.

"Saya rasa saya kuat tetapi sebenarnya tidak. Apatah lagi (ahli keluarga) yang lain," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Ali adalah antara 43 warga Malaysia yang terkorban dalam nahas itu yang berlaku pada 17 Julai 2014.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila terhempas di Donetsk, timur Ukraine.

Semalam, Mahkamah Daerah The Hague memutuskan bahawa dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine bersalah atas pertuduhan menembak jatuh pesawat milik Malaysia Airlines itu pada 2014.

Ia menyebabkan kesemua 298 penumpang dan krunya terbunuh.

Mereka yang didakwa adalah Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Leonid Kharchenko.

Bagaimanapun, mahkamah itu membebaskan seorang lagi warga Rusia iaitu Oleg Pulatov daripada pertuduhan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 3:16 PM