RAKMAN gambar menunjukkan Hakim Hendrik Steenhuis (kanan) dan peguam melihat pesawat MH17, pada 26 Mei 2021. FOTO AP
RAKMAN gambar menunjukkan Hakim Hendrik Steenhuis (kanan) dan peguam melihat pesawat MH17, pada 26 Mei 2021. FOTO AP
Reuters

Amsterdam: Mahkamah Belanda pada Khamis dijangka mengeluarkan keputusan pendakwaan terhadap empat lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan Rusia atas dakwaan menjatuhkan pesawat Malaysia Airlines MH17.

Pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru pesawat itu, di lokasi pertempuran antara pemisah pro-Rusia dan Ukraine.

Pihak yang mewakili mangsa dalam perbicaraan itu berkata, keputusan mahkamah terbabit akan menjadi peristiwa penting, walaupun suspek yang kesemuanya bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup, masih lagi dalam buruan.

Semua suspek yang mendalangi insiden itu dipercayai masih berada di Rusia yang tidak akan mengekstradisi mereka.

Moscow menafikan sebarang pembabitan yang mengakibatkan nahas MH17, selain mereka menafikan kehadiran pasukan ketenteraan mereka di Ukraine pada 2014.

Pendakwa Raya berkata, suspek, membabitkan tiga bekas pegawai perisikan Rusia dan seorang ketua tentera pemisah Ukraine, membantu mengatur dan mengangkut sistem peluru berpandu BUK tentera Rusia ke Ukraine yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu.

Kemepat-empat suspek itu didakwa menembak jatuh pesawat MH17 itu dan berdepan tuduhan membunuh, dalam perbicaraan yang diadakan mengikut undang-undang Belanda.

Mereka secara alternatif boleh disabitkan dengan tuduhan membunuh jika hakim di Mahkamah Hague mendapati tindakan mereka mengakibatkan nahas itu dirancang.

Pintasan panggilan telefon menjadi bahagian penting bukti terhadap keempat-empat lelaki itu yang menunjukkan mereka percaya melepaskan peluru berpandu menyasarkan jet pejuang Ukraine.

Tiga daripada lelaki itu dibicarakan secara 'in absentia' dan yang keempat mengaku tidak bersalah melalui peguam yang diupah untuk mewakilinya. Tiada antara mereka yang menghadiri perbicaraan.

Mangsa tragedi MH17 itu, pesawat yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, membabitkan 10 negara berbeza, namun lebih separuh daripada mangsa itu warga Belanda.

Siasatan bagi perbicaraan diketuai Belanda dengan penyertaan Ukraine, Malaysia, Australia dan Belgium.

Suspek membabitkan warga Rusia Igor Girkin, Sergey Dubinskiy, dan Oleg Pulatov; dan Leonid Kharchenko dari Ukraine.

Hakim dijangka membaca keputusan pada 1.30 tengah hari, pada Khamis, di mahkamah keselamatan tinggi bersebelahan Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 11:18 AM