Nurul Hidayah Bahaudin

Putrajaya: Belum ada laporan diterima daripada mana-mana pihak terhadap Timbalan Presiden Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli berhubung kenyataan berbaur ugutan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau belum menerima sebarang makluman sama ada laporan polis dibuat terhadap Rafizi, setakat ini.

"Kenyataan melulu Rafizi itu tidak sepatutnya berlaku. Ini menunjukkan parti mereka (Pakatan Harapan) tiada kerja lain hanya hendak menakut-nakutkan pegawai tertinggi dalam negara.

"Mereka melakukan tugas dengan baik, kenapa perlu takut-takutkan mereka. Negara kita ini ada undang-undang.

"Sesiapa sahaja bukan sahaja Azam, pegawai rendah, rakyat biasa atau pemimpin mana-mana parti pun yang melanggar undang-undang dalam negara akan tetap dikenakan tindakan jika bersalah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai Kadet Imigresen Gred KP41 dan KP29Siri 1 2022, di Dataran Pahlawan, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Terdahulu, Rafizi memberi amaran kepada Azam jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu ini susulan syarikatnya Invoke Solutions Sdn Bhd yang didakwanya diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas mengenai kesiapsiagaan anggota keselamatan menjelang hari pengundian esok termasuk kemungkinan banjir, Hamzah berkata, anggota keselamatan sentiasa siap siaga terutama di kawasan dikenal pasti sebagai lokasi 'hotspot' banjir.

"Saya tidak mahu melihat perkara ini sebagai sesuatu yang di luar jangka kerana kalau banjir berlaku di mana-mana 'hotspot', kita sudah pun melakukan simulasi bersama dengan agensi di bawah KDN (Kementerian Dalam Negeri).

"Bagaimanapun, kita berdoa supaya perkara ini tidak berlaku esok kerana ia boleh menyulitkan semua rakyat yang mahu keluar mengundi dalam proses amalan demokrasi," katanya.

RAFIZI. FOTO Arkib NSTP
RAFIZI. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 1:24 PM