Nor Fazlina Abdul Rahim dan Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyemak pendedahan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung dakwaan kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan termasuk dari Rafizi berhubung dakwaan berkenaan.

"Setakat ini saya tidak menerima laporan namun apa yang disebut kita ambil perhatian kerana segala maklumat yang diberikan kepada orang ramai, laporan secara bersemuka atau mana-mana media, kita akan ambil maklum.

"Sekiranya dakwaan berkenaan berasas, kita akan buka siasatan lanjut. Setakat ini kita tunggu dan lihat serta kita semak terlebih dahulu.

"Sebagai contoh jika benar sebagaimana yang didakwa Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengatakan tiada projek diberikan sepanjang tempoh kritikal itu, maka tiada keperluan untuk siasatan dibuka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengurniaan Kehormatan Kelantan Sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan V yang ke-53.

TAN Sri Azam Baki ketika ditemui di Istana Balai Besar, di sini selepas menerima kurniaan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK). FOTO SITI ROHANA IDRIS
TAN Sri Azam Baki ketika ditemui di Istana Balai Besar, di sini selepas menerima kurniaan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK). FOTO SITI ROHANA IDRIS

Ditanya sama ada SPRM akan memanggil Rafizi untuk mengambil keterangan, Azam berkata, perkara itu belum diputuskan lagi.

"Saya tidak boleh nak tetapkan lagi kerana setakat ini penafian sudah dibuat dan sudah ada surat tuntutan dihantar kepada Rafizi.

"Bagaimanapun, Rafizi atau mana-mana pihak dialu-alukan untuk tampil menyalurkan maklumat kerana kita terbuka dan ini adalah tugas kami. Sekiranya ada asas untuk menjalankan siasatan, kita akan buat," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Tuan Ibrahim mencabar Rafizi supaya membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan pemberian projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara runding terus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 2:08 PM