Beberapa pelajar menaiki kenderaan APM selepas terperangkap dalam bangunan sekolah akibat banjir kilat di kawasan Linggi. FOTO Ihsan APM
Beberapa pelajar menaiki kenderaan APM selepas terperangkap dalam bangunan sekolah akibat banjir kilat di kawasan Linggi. FOTO Ihsan APM
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Cawangan Port Dickson menjadi penyelamat apabila membawa keluar pelajar dan guru beberapa sekolah di kawasan Linggi di sini, yang ditenggelami banjir tengahari tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Port Dickson, Kapten (PA) Mohamad Azri Abu Hassan berkata, tindakan diambil susulan banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di daerah ini.

"Dalam kejadian jam 11 pagi tadi, banjir kilat turut membabitkan Kampung Permatang Pasir, Linggi. Anggota APM terpaksa membantu guru dan pelajar di beberapa sekolah yang terperangkap.

"Pasukan penyelamat APM segera membawa keluar semua mangsa kerana bimbang banjir semakin dalam," katanya.

Menurutnya, seramai 10 murid dan seorang guru dari Sekolah (J) Kebangsaan Cina Yik Hwa dan 44 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Hj Yusoff dipindahkan APM.

"Turut dipindahkan seramai tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir yang dipindahkan ke pekan Linggi. Seramai dua pelajar SJKC Chung Pin turut dipindahkan ke masjid Permatang Pasir," ujarnya.

Mohamad Azri berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini terutama di kawasan yang kerap dilanda banjir.

"Saya mengarahkan anggota APM membuat pemantauan di kawasan Permatang Pasir dan juga di kawasan Pasar Linggi kerana air mudah naik di kawasan itu setiap kali hujan lebat berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 6:57 PM