PEMINDAHAN mangsa banjir ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak di daerah Petaling. FOTO Ihsan APM
PEMINDAHAN mangsa banjir ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak di daerah Petaling. FOTO Ihsan APM
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negara meningkat kepada 631 orang, berbanding 50 orang semalam.

Setakat 8 pagi tadi, data Pusat Kawalan Operasi Pusat, Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) merekodkan, dua PPS baharu di Petaling dan Kuala Selangor dibuka bagi menempatkan 535 mangsa banjir daripada 114 keluarga.

Seramai 320 mangsa daripada 73 keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak di daerah Petaling, manakala Dewan MPKS Desa Coalfields, Kuala Selangor, pula menempatkan 215 orang daripada 41 keluarga.

Selain itu, 46 orang daripada dua keluarga dipindahkan ke Balairaya Permatang Pasir, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pada masa sama, 50 orang mangsa membabitkan 12 keluarga masih berlindung di PPS Balairaya Bukit Balai, Alor Gajah, Melaka sejak semalam.

Sementara itu, Pengarah APM Selangor, Ghazali Abd Rahman berkata, jumlah mangsa akan dikemas kini setiap dua jam.

"Setakat ini, kerja menyelamat dan memindahkan mangsa masih berjalan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, sebarang pertambahan atau pengurangan mangsa akan dikemas kini berdasarkan keadaan cuaca semasa.

"Bergantung kepada keadaan cuaca, namun di peringkat daerah kita sudah siap siaga untuk sebarang kemungkinan.

"Orang ramai dinasihatkan cakna dengan maklumat cuaca serta arahan dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 9:02 AM