Gambar fail, Sungai Linggi. FOTO Arkib NSTP.
Gambar fail, Sungai Linggi. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Amin Jalil


Port Dickson: Dasar Sungai Linggi yang terlalu cetek dipercayai faktor yang menyumbang kepada kekerapan berlakunya banjir kilat di Mukim Linggi di sini.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi Rusli Abdullah berkata, ia membabitkan kawasan berjarak lima kilometer terutama berhampiran pekan Linggi dan tiga perkampungan tradisional.

Katanya, kampung itu ialah Kampung Permatang Pasir, Kampung Tampin Linggi dan Kampung Pengkalan Durian dengan jumlah penduduk seramai 3,000 orang.

"Faktor ini sudah dikaji bersama agensi berkaitan termasuklah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah.

"Dasar yang cetek tidak dapat menampung jumlah air yang banyak terutama ketika hujan berterusan dan akan bertambah buruk jika berlaku air pasang," katanya hari ini.

Rusli berkata, dalam kejadian terbaharu, Rabu lalu lebih 100 rumah terjejas dan 30 penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Permatang Pasir.

Katanya, penduduk bukan hanya bimbang setiap kali hujan bahkan, mengganggu urusan harian mereka dan emosi.

Beliau juga memberitahu sudah menyuarakan masalah itu kepada pihak berwajib dan kerajaan negeri, selain mencadangkan supaya dasar Sungai Linggi didalamkan secepat mungkin.

Rusli berharap kerajaan dapat merangka perancangan jangka panjang bagi memastikan isu banjir kilat ditangani sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 11:36 AM