Keadaan banjir di pekan Pasir Panjang, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Keadaan banjir di pekan Pasir Panjang, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Banjir kilat sejak petang semalam hingga awal pagi hari ini di Kampung Jimah Lama, di sini, adalah yang terburuk sepanjang tahun ini.

Penduduk, Ajarah Maarof, 57, air naik sejak 5 petang semalam sehingga 2 pagi hari ini sedalam hampir dua meter yang merosakkan harta benda.

"Kami tidak sempat menyelamatkan banyak perabot serta barangan elektrik seperti peti ais, mesin basuh dan televisyen kerana air naik terlalu pantas.

"Sepanjang malam kami duduk dalam air kerana hujan tidak berhenti sejak petang semalam dan kami hanya berwaspada jika ada binatang liar seperti ular dan sebagainya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jimah Lama, hari ini.

Menurutnya, hujan lebat berterusan menyebabkan air Sungai Jimah naik dan melimpah hingga ke paras hampir dua meter.

Katanya, penduduk berterusan menghadapi masalah banjir sejak sekian lama kerana setiap kali hujan lebat, banjir berlaku menyebabkan banyak perabot rosak.

"Sebelum ini sungai ini pernah dikorek dan ditambah kedalaman, namun hanya bertahan tidak sampai dua tahun, banjir kembali mengganggu kehidupan kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Port Dickson, Kapten (PA) Mohamad Azri Abu Hassan berkata, hujan berterusan menyebabkan beberapa kawasan daerah di sekitar Port Dickson dinaiki air.

Beliau berkata, pihaknya berpecah kepada beberapa kumpulan bagi membantu mangsa banjir dan dua kawasan terjejas teruk iaitu Kampung Jimah Lama dan kawasan pekan Linggi.

"Tinjauan didapati arus deras rentetan dari air arah Seremban mengalir terus turun ke laut dan pemantauan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.

"Di kawasan Linggi, hujan lebat menyebabkan air sungai melimpah ke jalan raya dan Pusat Darul Widad dinaiki air sedalam hampir satu meter," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyelamatkan enam orang awam yang terperangkap dalam arus deras di Kampung Permatang Pasir, Pasir Panjang, pada 10.50 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 2:01 PM