ANGGOTA bomba membantu seorang warga emas yang menghuni Kompleks Pengajian Darul Widad. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba membantu seorang warga emas yang menghuni Kompleks Pengajian Darul Widad. FOTO ihsan bomba
Mohd Amin Jalil

Seremban: Sekurang-kurangnya empat daerah di Negeri Sembilan dilanda banjir kilat selepas hujan berterusan sejak semalam.

Daerah berkenaan ialah Rembau, Tampin, Kuala Pilah dan Port Dickson.

Jurucakap bilik gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, di Tampin, seramai 42 penduduk di Batu 6, Kampung Keru diselamatkan anggota bomba, malam tadi.

Katanya, hujan lebat berterusan menyebabkan enam rumah ditenggelami air sehingga lebih satu meter.

"Anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 11.18 malam dan segera melakukan kerja penyelamatan.

"Semua mangsa terbabit dipindahkan sementara waktu di Surau Keru Hilir," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, banjir turut dilaporkan berlaku di Port Dickson iaitu di Kompleks Pengajian Darul Widad di Permatang Pasir, Linggi.

Menurutnya, seramai 29 penghuni kompleks terdiri daripada lima lelaki dan 24 wanita dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Balai Raya, Kampung Permatang Pasir.

"Seramai 65 mangsa pula diselamatkan dalam kejadian banjir di Kampung Jimah Lama dan semuanya dibawa ke pusat pemindahan di Balai Raya Jimah Lama yang dibuka pada jam 1 pagi tadi.

"Selain itu, kejadian banjir kilat dilaporkan berlaku Ladang Tanah Merah, Kampung Jangging, Kampung Tanah Merah Site A dan Kampung Baru Sirusa," katanya.

Sementara itu, jurucakap berkenaan berkata, beberapa kawasan turut dilaporkan dinaiki air di daerah Rembau iaitu Kampung Sungai Raden, pekan Lubok Cina dan Kampung Bangsal Atap, mukim Titian Bintangor, Kampung Pilin, dan Kampung Paya Lebar.

"Sejak awal pagi tadi, hujan renyai masih turun, namun bomba terus memantau dan bersedia melaksanakan kerja penyelamatan jika perlu dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 10:16 AM