TAN Sri Rais Yatim. FOTO arkib NSTP
TAN Sri Rais Yatim. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tindakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengugut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tidak wajar.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Rais Yatim berkata, siasatan dijalankan terhadap syarikat milik Rafizi iaitu Invoke Solutions Sdn Bhd dibuat berdasarkan laporan diterima SPRM dan suruhanjaya itu pula menjalankan tugas serta peranannya.

"Dalam tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini, tidak harus keluar kenyataan sebegini kerana ia boleh disifatkan sebagai satu provokasi atau ugutan.

"Apa yang dilakukan Rafizi itu tidak betul dan tidak wajar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, apa yang dinyatakan Rafizi ini boleh dianggap sebagai satu bentuk ugutan dan jika beliau was-was terhadap siasatan dijalankan SPRM, beliau sepatutnya membuat laporan kepada polis atau kepada JKMR.

Terdahulu, pada Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru malam tadi, Rafizi memberi amaran kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki jika gabungan itu memenangi PRU-15 Sabtu ini.

"Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi. Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, InsyaAllah.

"Saya tahu Azam Baki tengok ni! Saya harap bila Pakatan Harapan menang bila kami cari kamu, kamu jangan salahkan adik kamu sekali lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 4:29 PM