UNIVERSITI Utara Malaysia.
UNIVERSITI Utara Malaysia.
Noorazura Abdul Rahman


UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) berjaya meningkatkan kedudukan untuk tiga tahun berturut-turut dalam senarai Quacquarelli Symonds World University Rankings (QSWUR) 2021 yang diumumkan semalam.

Universiti itu kini berada pada kedudukan 531-540 berbanding 591-600 tahun lalu, sekali gus tersenarai di kedudukan kesembilan dalam senarai 10 universiti terbaik Malaysia.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, setiap tahun UUM naik ke kelompok lebih tinggi dalam QS World University Rankings sejak mula disenarai pada 2016.

"Ini adalah satu lonjakan terbaik yang sangat konsisten dari tahun ke tahun, walaupun ketika kita sedang berdepan penularan pandemik Covid-19.

"Kejayaan ini adalah hasil kerja keras seluruh warga UUM yang komited memartabatkan jenama universiti ini di persada antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Bashawir berkata, beliau bangga apabila UUM disenaraikan dalam ribuan universiti terbaik dunia dan berharap kedudukan itu akan terus meningkat.

"Kedudukan adalah penting sebagai penanda aras kepada universiti untuk berada setanding dengan universiti terbaik lain.

"Ia secara tidak langsung membantu menarik lebih banyak pelajar memilih UUM sebagai tempat melanjutkan pengajian," katanya.

QSWUR menguna pakai enam indikator dalam memberi penarafan kepada universiti global iaitu reputasi akademik (40 peratus); sitasi per staf akademik (20 peratus); nisbah penuntut kepada staf akademik (20 peratus); reputasi majikan (10 peratus); peratus penuntut antarabangsa (lima peratus) dan peratus staf akademik antarabangsa (lima peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 1:22 PM