TUANKU Zara Salim (lima, kiri) berkenan melafazkan pelancaran Sambutan 25 Tahun UPSI dan Pelancaran Nombor Pendaftaran Kenderaan UPSI. FOTO Bernama.
TUANKU Zara Salim (lima, kiri) berkenan melafazkan pelancaran Sambutan 25 Tahun UPSI dan Pelancaran Nombor Pendaftaran Kenderaan UPSI. FOTO Bernama.
BERNAMA

Tanjung Malim: Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim hari ini berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Aidilfitri dan Sambutan 25 Tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad serta Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dan dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung terdiri daripada penuntut, warga universiti dan penduduk setempat.

Pada majlis itu, Tuanku Zara turut berkenan melafazkan pelancaran Sambutan 25 Tahun UPSI dan Pelancaran Nombor Pendaftaran Kenderaan UPSI iaitu 'UG' yang bermaksud (Universiti Guru) untuk mengimbau kenangan terutama kepada Alumni Anak Kandung Suluh Budiman (SITC, MPSI, IPSI, UPSI).

Sementara itu, Saarani dalam ucapannya berkata, beliau sebagai Menteri Besar mahu melihat hubungan dengan UPSI sentiasa diperkukuh melalui jalinan kerjasama dalam memartabatkan lagi bidang pendidikan.

"Saya amat yakin dengan kepakaran yang dimiliki oleh pakar dari UPSI. UPSI membangunkan modul 3M (membaca, menulis, mengira) dan berganding bahu bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) melaksanakan Empower NCER Akademik Perak yang memajukan pendidikan anak-anak Perak termasuk kalangan anak Orang Asli.

"Saya juga yakin, graduan UPSI akan terus diperlukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk berkhidmat di seluruh negara dalam pelbagai bidang pembelajaran.

"Sumbangan UPSI membantu negara memperkasakan pendidikan negara termasuk Perak, akan terus terpahat utuh dalam lipatan sejarah," katanya.

Dalam pada itu, Md Amin dalam sembah ucapannya berkata, UPSI mensasarkan untuk muncul sebagai antara 100 universiti tercemerlang di dunia dalam bidang pendidikan.

"Di pentas antarabangsa, nama UPSI semakin melonjak dan terus mengharum. Pada tahun ini, UPSI tersenarai sebagai universiti ke-176 dan 201 terbaik di dunia dalam bidang pendidikan melalui penarafan 'Times Higher Education' dan 'QS World University Rankings.

"Usaha sama dengan Harvard University, Oxford University dan Moscow State University akan terus diimarahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 6:02 PM