MSU dalam senarai universiti muda terbaik dunia.
MSU dalam senarai universiti muda terbaik dunia.
Suliati Asri

MANAGEMENT and Science University (MSU) menjadi antara institusi pengajian tinggi universiti swasta yang mencatat kedudukan terbaik dalam Quacquarelli Symonds (QS) 2021 World University Rankings 50 Under 50.

MSU berada pada kedudukan ke-81 sehingga ke-90 berbanding kedudukan ke-91 sehingga ke-100 pada 2020 dan mengekalkan kedudukannya dalam senarai 10 universiti terbaik di negara ini.

Penilaian QS Top 50 Under 50 menggunakan enam indikator berkaitan penilaian universiti, akademik serta fakulti iaitu penilaian yang sama digunakan bagi penilaian

QS World University Ranking, MSU disenarai dalam kalangan 47 peratus universiti terbaik dunia bagi 2021 atau pada kedudukan ke-551 sehingga ke-560.

Pengiktirafan yang diperoleh itu penanda aras kepada universiti dalam melihat sama ada program yang dijalankan adalah relevan untuk melahirkan graduan yang seimbang, holistik dan versatil pada masa depan serta selaras moto MSU iaitu Transforming Lives, Enriching Future.

Kejayaan ini kesinambungan kepada usaha dan komitmen berterusan MSU memperkasakan aspek pengantarabangsaan menerusi penyelidikan, pelajar dan kakitangan, aktiviti mobiliti serta fasiliti.

Usaha itu juga diperkukuhkan dengan penerapan enam indikator utama dalam aspek pengajaran dan pembelajaran iaitu industri dan kebolehpasaran, keusahawanan, pengantarabangsaan, memperbaiki komponen penyelidikan, program lestari dan komuniti serta pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat.

Pencapaian cemerlang MSU sepanjang hampir empat dekad yang lalu termasuk QS Asia Ranking 2020 pada ranking ke-179 di mana MSU menjadi antara dua peratus universiti terbaik Asia, MSU dalam kalangan 300 terbaik dunia dalam QS Graduate Employability Rankings 2020 dan dalam kalangan 401 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education Impact Ranking 2020.

Bagi QS World University Rankings by Subject 2020: Hospitality dan Leisure Management, MSU berada di kedudukan ke-28 dunia dan ke-2 di Malaysia serta penarafan lima bintang bagi pengajaran, kebolehpasaran, kemudahan, tanggungjawab sosial dan inklusif menerusi QS Stars University Rankings.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 6:30 AM